Sunday, May 17, 2009 at 7:43 PM |  

Kekacang adalah salah satu daripada makanan yang kaya dengan protein. Bagi pengamal hidangan berasaskan sayuran atau mereka yang menjaga diet, kacang panggang sering menjadi pilihan kerana keenakan rasanya.

Begitupun, masih ramai tidak tahu bahawa protein sayuran seperti kekacang sebenarnya mengandungi banyak serat, vitamin, mineral dan lemak tidak tepu.

Ia turut dikenali sebagai makanan pelbagai fungsi yang diperlukan untuk memastikan tubuh sentiasa berada dalam keadaan baik.

Pakar pemakanan yang juga penulis buku Cholesterol Down - 10 Simple Steps to Lower Your Cholestrol in 4 Weks, Dr Janet Brill, berkata kekacang seharusnya menjadi 'teman baik' setiap orang kerana ia adalah makanan hebat yang mengandungi serat, mineral dan vitamin.

Perunding Pemakanan, Institut Jantung Negara, Mary Easaw-John, berkata kacang kering, bijian, kekacang dan kacang panggang adalah salah satu sumber protein serta serat yang baik untuk kesihatan.

Menurutnya, serat terbahagi kepada dua jenis utama iaitu serat mudah larut serta tidak mudah larut.

"Pengambilan antara 20 hingga 25 gram serat larut setiap hari membantu mengurangkan tahap kolesterol manakala jika jumlahnya ditingkatkan kepada 25 gram daripada jumlah keseluruhan pengambilan serat (50 gram), ia akan turut membantu mengurangkan tekanan darah serta risiko penyakit diabetes," katanya.

Menurutnya, kandungan serat biasanya boleh berubah bergantung kepada cara ia dimasak atau diproses. Sebagai contoh, sebiji kentang mengandungi lebih banyak serat berbanding kentang lenyek manakala jus epal mempunyai kandungan serat lebih rendah jika dibandingkan dengan sebiji epal.

"Secara asasnya, lelaki yang berumur 50 tahun ke bawah perlu mengambil 38 gram serat setiap hari berbanding hanya 30 gram untuk mereka yang berada dalam lingkungan usia 50 tahun ke atas.

"Wanita berusia 50 tahun ke bawah pula perlu mengambil 25 gram serat berbanding 21 gram untuk wanita berusia 50 tahun ke atas," katanya.

Dalam pada itu, Mary berkata, untuk mendapatkan serat yang cukup dan seimbang dalam pelan pemakanan harian, ia sebenarnya amat mudah jika masyarakat tahu mengenai kandungan sesuatu makanan.

"Memilih makanan seperti roti gandum penuh, buah-buahan kering, oat, beras perang, bijirin gandum penuh, buah-buahan segar bersama kulit, makanan berasaskan kekacang serta sayuran mampu memberi jumlah serat diperlukan badan terutama dengan pengambilan lima hidangan sayuran dan buah-buahan sehari.

"Berdasarkan data yang diperoleh daripada Kajian Kesihatan dan Pemeriksaan Kebangsaan (NHANES), 1999 hingga 2002, didapati individu yang mengambil makanan kekacang dalam menu harian mereka mempunyai berat badan berkurangan serta pengecilan saiz ukuran pinggang berbanding mereka yang tidak mengambil hidangan berkenaan," katanya.



>Info

Setengah cawan kekacang mengandungi:

  • Folat - Mengurangkan risiko kecacatan ketika kelahiran dan melambatkan proses penuaan.

  • Mangan - Menguatkan tulang serta metabolisme protein, lemak dan karbohidrat.

  • Magnesium - Membina tulang serta menstabilkan tekanan darah yang penting untuk jantung.

  • Zat besi - Membawa oksigen ke dalam darah.

  • Selenium - Mengatur fungsi tiroid serta menghalang kerosakan sel akibat proses pengoksidaan.

  • Zink - Membantu sistem pertahanan, sintesis DNA serta mengekalkan deria rasa dan deria bau.

  • Serat - Serat larut mampu membantu mengurangkan tahap kolesterol dan mengekalkan keseimbangan bakteria baik.

  • Protein - Membantu fungsi badan dalam proses tumbesaran.

  • Tembaga - Kunci untuk penyerapan zat besi dan membantu menentang radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel.

  • Potasium - Mengawal tekanan darah.

  • Karbohidrat - Kanji kompleks yang bagus untuk tenaga dan mempunyai fungsi penting dalam pengurusan berat badan.

  • Kalsium - Membina tulang, baik untuk kanak-kanak dan mengurangkan tulang daripada mengecil.
  • Posted by NsH

    0 comments:

    Visit the Site
    MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger template by blog forum.